Sunday, January 16, 2011

aku dibenci atau membenci?????

Mungkin sesetengah orang berpendapat bahawa kebencian itu suatu perkara yang tidak baik namun hakikatnya sebagai seorang manusia kita tidak dapat terlepas dari adanya perasaan benci di dalam diri kita. Kebencian ini dapat dioleh mengikut individu itu sendiri samada beliau ingin menjadikan perasaan benci itu sebagai suatu perkara yang boleh merosakkan dirinya ataupun perasaan itu diolah untuk dijadikan sesuatu perkara yang baik. Namun dewasa ini kita dapat lihat bahawasanya masyarakat mempertonjolkan jeliknya perasaan ini yang akhirnya membawa padah kepada diri mereka sendiri. Teks ini akan menghuraikan apakah itu perasaan benci? Bagaimanakah dapat kita mengagak bahawa seseorang itu benci kepada kita? dan juga apakah solusi yang terbaik bagi kita untuk menangani masalah kebencian yang melanda diri kita ataupun orang disekeliling kita.

Benci adalah satu perasaan yang wujud di dalam diri setiap diri manusia. Ia dapat dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu kebencian yang menjurus kearah positif dan juga kebencian yang menjerumus kearah negatif. Ia juga dipengaruhi oleh tingkah laku kita sendiri dan juga tindakan yang kita ambil. Dengan erti kata lain, mungkin kita sendiri yang menjadi pencetus kearah membuak-buaknya perasaan ini ataupun mungkin juga wujudnya ketidak puasan hati dari insan lain terhadap diri seseorang berdasarkan keistimewaan ataupun anugerah yang telah dikurniakan oleh tuhan terhadap seseorang insan itu. Perasaan benci ini adalah berpunca dari hati dan kita tidak dapat melihat secara realiti sekiranya ia tidak di ekspresikan dengan wujudnya stereotaip. Kenyataan-kenyataan yang diluahkan membayangkan ketidak puasan hati, irihati, dendam dan juga hasutan atas keburukan seseorang itu sudah cukup untuk membayangkan kebencian seseorang individu tersebut. Namun tahap kebencian seseorang itu tidaklah kita dapat ukur kerana ia melibatkan hati dan perasaan. Hati manusia senang untuk berbolak balik dan ia akan menyebabkan perasaan itu berubah. Ada juga perasaan benci ini membuahkan cinta yang mana individu terbabit pernah terluka akibat cinta namun jauh disudut hatinya dia masih mencintai individu itu samada dia sedar mahupun tidak. Mungkin dia cuba untuk menanam perasaan benci tersebut namun kuasa cinta sememangnya hebat dan dapat menghapuskan kebencian yang ada di dalam diri manusia. Sebagai manusia, kita hidup dengan cinta dan tidak akan dapat kita lari dari cinta kerana cinta tuhanlah kita dapat hidup dengan apa yang kita ada. Ujian demi ujian ditaburkan adalah semata-mata untuk menguji sejauh mana manusia itu cintakan penciptanya.

Perasaan benci ini adalah berpunca dari nafsu yang tidak terkawal. Ia dapat di agak melalui pertuturan, perbahasan, bertulis, ekspresi muka dan lain-lain bentuk komunikasi yang menampakkan seseorang itu tidak suka akan sesuatu benda ataupun orang lain. Namun, dewasa kini kita sering kali terdengar tentang isu-isu yang membabitkan penglibatan makhluk halus sebagai cara membalas dendam dan juga membuang bayi di merata-rata tempat. Dimanakah ajaran tuhan yang mahukan manusia saling sayang menyayangi dan saling mencintai sesama manusia hilang? Beginilah fenomena berlaku akibat dari manusia yang mula kehilangan tuhan dan juga kasih tuhan terhadapnya. Mengenai pembabitan makhluk halus untuk mengekspresikan kebencian adalah sama sekali tidak wajar. Makhluk ini boleh memudaratkan seseorang individu dan ilmu yang dipakai juga akan membawa bencana kepada penerima ilmu tersebut dan juga penghantar ilmu tersebut. Didalam ajaran agama Buddha ada menyatakan bahawa kesengsaraan hidup adalah lumrah kehidupan. Adakah sengsara kerana buatan orang adalah kesengsaraan hidup yang membuahkan kebahagian? Sudah tentu tidak. Kebahagian ataupun kepuasan hati bagi insan yang menggunakan ilmu hitam ke atas insan lain adalah bersifat sementara kerana sudah menjadi lumrah manusia untuk mendapatkan sesuatu lebih dari apa yang meraka punyai. Kesakitan dan penderitaan yang dihadapi bukanlah dapat mengubat perasaan benci insan tersebut namun ia akan menaikkan lagi kebencian dengan menambah kuasa ilmu hitam tersebut sehinggalah individu tersebut merana sepanjang hayatnya ataupun sampai ilmu tersebut membunuh seorang hamba tuhan yang tidak bersalah. Adakah ini yang kita mahu iaitu bunuh membunuh secara senyap untuk memuaskan nafsu yang entah bila akan puasnya? Bersama-samalah kita berfikir sebelum melakukan kegiatan ini kerana ia akan menyusahkan hidup kita di akhir masa kelak. Mengenai kes membuang bayi di tepi longkang, adalah sadis mengenangkannya. Anak yang lahir tanpa sebarang dosa dibunuh oleh kedua ibubapanya akibat dari ketidak dapat menerima hakikat akan wujudnya bayi tersebut. Aduh, adakah sudah tiba petanda kiamat iaitu ibu yang mengandung akan melahirkan anak tanpa disedari? Ia amatlah menggerunkan. Masalah ini mungkin bagi masyarakat umum tidak ada kena mengena tentang unsure kebencian namun sedarkah kita bahawasanya sekiranya ibu atau bapa kepada anak-anak malang itu tadi tidak membuangkan mereka dan membetulkan kesalahan yang telah mereka lakukan, ia menunjukkan bahawa mereka sayang akan bayi tersebut tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Cinta manis yang ditaburkan dan melunturkan hati perempuan untuk memberikan kehormatan tertinggi mereka kepada lelaki dayus tersebut adalah punca kepada kes lahirnya anak diluar nikah ini. Cinta yang di taburkan adalah cinta palsu yang berpusat kepada keinginan untuk memuaskan nafsu yang tidak mengira apa sahaja yang menghalang. Pada ketika inilah tuhan dan ajaran agama mula di belakangi dan syaitan mula meraikan kejayaan menghapuskan keimanan seseorang anak adam tersebut.

Manusia mula hilang pertimbangan dan mula untuk mencari jalan mudah untuk menyelesaikan segala masalah yang menimpa mereka. Ketika mengandungnya seseorang perempuan itu akibat keterlanjuran mereka menjalinkan hubungan seks bersama pasangan yang tidak sah menyebabkan perempuan itu tertekan. Tekanan yang dihadapi adalah berpunca dari kebencian masyarakat yang bakal dirempuh oleh beliau berseorangan dan juga lelaki yang meluahkan cinta palsu tersebut enggan untuk bertanggungjawab di atas perbuatannya yang telah lalu. Adalah senang untuk melafazkan kesesalan terhadap apa yang telah terjadi namun tindakan untuk membetulkan keadaan perlu diambil oleh kedua belah pihak. Adalah tidak salah masyarakat untuk mengutuk dan juga membenci perbuatan ini namun sekiranya taubat telah dilafazkan dan diikrarkan didalam hati individu tersebut, kita seharusnya bersama-sama membimbing tangan wanita yang telah terlanjur itu ke jalan kebenaran bukannya membiarkan dan menambahkan tekanan keatas mereka. Dengan ini, jelaslah kepada kita semua bahawa kebencian itu dapat dilihat dan juga ada yang tersembunyi.

Apabila kita komentarkan mengenai solusi terbaik untuk mengatasi masalah wujudnya kebencian ini sudah tentu kita akan menuding jari kepada pihak lain dengan mudahnya tetapi tidak kepada diri kita sendiri. Mungkin anda akan ada perasaan yang mengatakan pengarang adalah salah namun semua masalah berkenaan dengan kebencian adalah berpunca dari kita sendiri. Hanya diri kita sendiri yang dapat mencorakkan perasaan benci dan mengawal perasaan tersebut dari terus menular di dalam diri kita sendiri. Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan perasaan benci dan ego di dalam diri kita adalah dengan mendekatkan diri dengang tuhan. Bagi yang beragama islam, perbanyakkan sujud di atas sejadah kerana tahap keegoan dan kebencian kita akan runtuh dengan sujudnya kita kepada tuhan. Pembaca yang beragama selain dari agama Islam, gunakanlah pendekatan yang ada di dalam agama anda untuk mendekatkan lagi diri anda dengan tuhan anda. Jangan sesekali kita membelakangi tuhan kerana hidup kita tidak akan tenteram dan penuh dengan masalah yang akan melanda. Cintailah tuhan kerana dengan cinta tuhan kita dapat bernafas dan hidup kita tenang walaupun masalah datang mencurah-curah keatas diri kita. Mengenali kelemahan dan kekuatan diri kita sendiri akan menyebabkan motivasi dalaman kita meningkat. Sekiranya terhadap insan lain yang mempunyai kelebihan pada kelemahan yang kita ada, manafaatkannya sebaik mungkin untuk kepentingan bersama. Seseorang insane adalah tidak sempurna tanpa insane lain. Dengan erti kata lain, kita menerima kelemahan kita dan keistimewaan insan lain dengan hati yang terbuka. Perasaan bangga diri kita sendiri tidaklah perlu untuk diekspresikan ataupun ditonjolkan dengan berlebihan kerana ia akan menyebabkan masyarakat membenci diri kita. Apa yang perlu kita lakukan adalah menolong ataupun membantu insan-insan yang memerlukan bantuan yang mana bantuan itu adalah berkaitan dengan keistimewaan yang kita ada. Janganlah terlalu berharap pada balasan terhadap apa yang telah kita lakukan tetapi harapkanlah keredhaan dari tuhan kerana dengan cintanya kita akan terus hidup aman dan bahagia. Berfikirlah dengan fikiran yang rasional untuk membuat sesuatu pertimbangan ataupun mengawal emosi dalam supaya masyarakat sekeliling tidak tahu akan apa yang kita fikirkan. Lakukanlah perkara yang terbaik untuk diri sendiri dan juga masyarakat sekeliling tetapi janganlah perkara yang kita putuskan itu adalah menyusahkan hidup kita sendiri dan juga menyusahkan hidup masyarakat sekeliling kerana ia akan mewujudkan perasaan benci masyarakat setempat ke atas diri kita. Ambillah iktibar dari apa yang terjadi untuk pedoman kita di hari yang mendatang.

Sebagai akhir tinta dari penulis kebencian adalah perkara yang subjektif yang mana kita sendiri yang mencorakkannya samada untuk menjadikan ia satu perkara yang positif ataupun menjadikan ia sebagai suatu perkara yang negatif. Dengan penerangan mengenai kebencian, kaedah untuk mengetahui samada seseorang itu benci akan kita dan juga solusi untuk mengatasi masalah kebencian yang melanda diharap dapat member sedikit input baru kepada pembaca. Ini adalah bertujuan untuk menyedarkan kita semua mengenai masalah ini yang seringkali dianggap remeh tetapi ia boleh merundang masalah social yang besar kepada masyarakat kita. Kesedaran kita semua akan menyebabkan kita lebih berhati-hati untuk menghadapi masalah ini dan berfikiran jernih dalam menyelesaikan masalah yang melanda diri kita sendiri dan juga masyarakat di sekeliling kita. Masih belum terlambat lagi untuk kita sedar akan fenomena ini. Kesedaran bersama amat penting untuk menjamin masa depan masyarakat kita. Kerjasama semua pihak amatlah diperlukan untuk saling kita ingat mengingati sesama kita bagi membendung dan mengawal perasaan benci di dalam diri kita sendiri. perasaan benci digunakan untuk kebaikan adalah bagus dan ia akan menyebabkan masyarakat kita aman tanpa perkelahian. Mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

No comments:

Post a Comment